Rejab sudah
berlalu. Kini telah pertengahan Syaaban. Lambaian Ramadan 15 hari lagi. Kita
belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili
ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah)
dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa
Rasulullah ketika masuknya Rejab:
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا
رمضان
"Allahuma Bariklana fi rajab
wa syaaban wa ballighna Ramadan"
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan
kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan
sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah
sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."
Inilah doa tiga serangkai yang
memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah
bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan
memupuk kebersihan hati.
Selari dengan erti Syaaban iaitu
berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Pada zaman Jahiliyah, masyarakat
Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di
padang pasir.
Rasulullah mengekalkan nama Syaaban
sehinggalah sekarang.
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah
atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada
beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang,
beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut
tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Diantara hadis yang paling masyhur
ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu
sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab,
"Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW,
"Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali."
(Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Fadhilat
Syaaban
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua
selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan
bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari
segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari
segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati
dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang
digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan
puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan
terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan
Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita
selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi
menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada
menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga
hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala
mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti
orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan
apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak
doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat
kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala
mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala
macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili
Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki
niatmu."
Peristiwa-peristiwa
penting di Bulan Syaaban
1.
Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi
Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu
Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan
pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah
kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW):
"Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab:
"Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni
orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir,
bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak,
orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada
kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang
yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan
diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang
lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW
untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca:
"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu
dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji
kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik
dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.
2.
Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat
kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul
Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa
agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah
meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan
berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah
SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu
sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha
Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan
agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15
Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada
solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat
Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh
para sahabat sebagai makmum.
3.
Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak
dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan
berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak
badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari
peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW
keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan
Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada
yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu
Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib
bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah
Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang
milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia
meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan,
Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung
menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu
itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus
menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
Tindakan Rasulullah SAW ini telah
memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai
dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan
di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun
56H.
Begitu besarnya fadhilat bulan
Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk
mengimarahkannya.